Nuriswa Enterprise pengeluar makanan dingin beku
INDUSTRI makanan adalah antara cabang perniagaan yang wajib diceburi oleh orang Islam. Bukan kepuasan mengejar keuntungan yang menjadi sandaran tetapi memenuhi tuntutan Islam iaitu mengeluarkan makanan yang halal, suci dan bersih.
Atas hakikat itu, Iswati Akair, 34, mengambil keputusan melibatkan diri dalam industri pengeluaran makanan. Beliau memilih jenama Miera ke atas 14 produk makanan dingin beku keluaran syarikatnya, Nuriswa Enterprise.
Syarikatnya beroperasi 24 jam sehari dengan bantuan enam pekerja setiap syif dan beberapa pekerja sambilan. Anak jati Kampung Labohan Dagang, Banting di Selangor ini beruntung kerana mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga terutama suaminya, Mohd. Jamil Jubir, 37, yang sama-sama membantu melicinkan perjalanan operasi syarikat.
Ikuti pengalaman beliau mengenai penglibatannya dalam bidang pengeluaran makanan yang dikongsi bersama wartawan Zunaidah Zainon dan jurugambar Husin Ibrahim.
Utusan : Terangkan serba ringkas mengenai penglibatan anda dalam perniagaan makanan.
Jawapan : Saya tidak ada asas dalam bidang perniagaan melainkan minat semata-mata. Sebelum ini, saya pernah mempunyai bisnes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi tidak berapa memberangsangkan. Jadi, saya ambil keputusan memulakan perniagaan lain seperti kedai roti dan kek. Pada masa tersebut, skop saya dalam bidang perniagaan tidak berapa luas. Matlamat awal saya hanya ingin mencuba, sekiranya berjaya, saya akan teruskan.
Akhirnya atas khidmat nasihat Jabatan Pertanian Daerah Kuala Langat, saya melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan pengeluaran makanan dingin beku. Setelah mengikuti kursus keusahawanan selama enam bulan, saya bermula di rumah dengan modal yang kecil, RM50 sahaja. Kemudiannya, barulah berpindah ke Kompleks Perniagaan PKNS, Jalan Labohan Dagang, Bukit Changgang, Banting. Hampir empat tahun saya menyewa di bangunan ini.
Apakah produk yang dikeluarkan oleh Nuriswa Enterprise?
Karipap (inti kentang, sambal ikan bilis, ayam, daging dan sardin), karipap pusing inti ayam dan daging, kasturi, getuk ubi, popia, samosa, onde-onde bijan, cucur badak dan pulut panggang.
Adakah anda mempunyai asas dalam bidang masakan atau penyediaan makanan?
Saya belajar dan membuat sedikit kajian mengenai pengeluaran makanan selama dua tahun ketika berada di Singapura. Jadi, saya berpeluang melihat bagaimana produk mereka dihasilkan. Selain itu, saya juga mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beberapa chef di Cyberview Resort and Spa dan MAS Catering. Mereka banyak membantu dalam segi penyediaan produk.
Bagaimana anda menghadapi persaingan kerana terdapat jenama yang telah bertahan lama dalam industri pengeluaran makanan dingin beku?
Saya tidak nafikan agak sukar untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar kerana saya tidak memasarkan produk ke pasar raya. Sebagai pengeluar makanan, saya amat mementingkan kualiti produk. Setakat ini, produk-produk saya diedarkan untuk MAS Catering dan KL Airport Services.
Selain persaingan apakah cabaran yang telah anda lalui?
Modal kita agak kurang. Saya mengakuinya, kerana itu adalah masalah utama bagi usahawan Bumiputera. Memang ada banyak cabaran dalam menjalankan perniagaan ini dan Alhamdulillah, ia sudah berjaya diatasi. Saya juga pernah melalui saat-saat yang sukar hingga menyebabkan saya patah semangat dan berputus asa. Bagaimanapun sekarang saya gembira kerana pelanggan berpuas hati dengan produk Miera dan permintaan amat memberangsangkan..
Apakah perancangan masa depan Nuriswa Enterprise ?
Kami bercadang mengeluarkan produk roti dan kek selepas ini. Selain itu, kami juga akan membina bangunan baru agar dapat memenuhi permintaan daripada pelanggan dan pengedar. Buat masa sekarang, kos sewa bangunan ini hanyalah RM250 sebulan dan memerlukan lebih kurang RM200,000 untuk pengubahsuaian. Untuk memenuhi permintaan pelanggan juga, kami telah membeli mesin untuk membuat karipap yang harganya hampir mencecah RM100,000.
Pada pendapat anda, mengapa penting bagi orang Melayu terlibat dalam industri pengeluaran makanan?
Dalam Islam, sebenarnya adalah penting bagi kita mendapatkan makanan halal dan suci daripada segi isi kandungan. Memang ada pengeluar makanan yang halal tetapi kita tidak pasti sejauh mana aspek halalnya diyakini.
Walaupun ada pengedar saya yang bukan beragama Islam, tetapi saya pastikan nama pengeluar tercatit pada bungkusan makanan. Ini juga perlu dititikberatkan oleh pengeluar makanan. Banyak aspek perlu diambil kira bagi memastikan makanan yang halal, suci dan bersih dapat dihasilkan. Kita tidak boleh menjadi pengguna selama-lamanya.
Apakah kelebihan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ketiga yang anda sertai baru-baru ini?
Inilah kali pertama saya menyertai pameran dan ekspo yang berkaitan dengan keusahawanan. Mihas memberi banyak kelebihan terutama dari segi pengetahuan produk dan jalinan perniagaan yang luas.
Alhamdulillah, ada rakan perniagaan dari United Kingdom, China dan Japan yang berminat dengan produk kita kerana ia kurang berminyak dan segera. Saya juga berpeluang melihat kaedah pembungkusan untuk produk makanan yang lain. Ini akan meningkatkan kemahiran kita dalam industri pengeluaran makanan.
Sumber: Utusan Online
Purple Wedding Cake
3 days ago















.gif)






























0 comments:
Post a Comment