Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Pelbagai jenis bun iaitu bun kelapa, bun labu, cinnamon roll dan bun kismis yang dihasilkan oleh Mustaffa.
--------------------------------------------------------------------------------
PERTAMA kali merasai roti berinti kelapa buatan pasangan suami isteri ini, terkenang keenakan roti yang dijual oleh peniaga kaum Sikh semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Agak sukar untuk mendapatkan roti seenak itu sekarang ini, namun terubat juga rindu selepas menjamah dua potong roti yang dijamu oleh seorang pemilik kedai semasa mengadakan temu bual tidak lama dahulu.
Terus teruja ingin mengetahui siapakah pembuatnya. Memang rasanya lain daripada yang lain, bahkan inti kelapanya benar-benar lemak, manis dan asli manakala rotinya lembut dan lembap. Akhirnya, temu janji pun diatur.
Setibanya di rumah pembuat roti tersebut di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, penulis melihat kelibat seorang lelaki Inggeris berbadan sasa dengan hanya berkain pelikat dan berbaju kemeja-T .
Dalam hati, ini dah lebih Melayu daripada Melayu kerana agak jarang kita boleh melihat orang Melayu berkain pelikat di siang hari kecualilah di luar bandar.
Ditanya kepada isterinya, Mardia Nasir, 45, jawapannya, itulah pakaian suaminya seharian sejak menetap di Malaysia pada tahun 2002. Dia senang dengan pakaian tersebut untuk melakukan tugas-tugas harian di rumah terutamanya kerja-kerja membuat roti.
Martin Prior, 62, atau nama Islamnya, Mustaffa Abdullah yang berasal dari Pournemouth, England, United Kingdom, memulakan perniagaan roti ini sejak tahun 2002.
Itu pun berlaku secara kebetulan, apabila Mardia membeli sebuah buku resipi roti semasa berada di England dan membawa balik ke Malaysia.
Menurut Mustaffa, sebaik balik sahaja ke Malaysia, Mardia membeli sebuah ketuhar kecil dan memulakan perniagaan kek lapis berempah yang telah ditinggalkan ketika menetap di England.
‘‘Untuk membantunya menambahkan lagi pendapatan, saya mencuba membuat kek dan roti yang dipelajari daripada nenek saya sebelum ini serta berpandukan buku resipi Mardia.
‘‘Saya cuba memperkenalkan roti yang menggunakan bahan-bahan semula jadi, bebas daripada pewarna, bahan kimia dan pengawet.
‘‘Lantas, kami membuka sebuah bakeri di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh. Namun, perniagaan di situ kurang mendapat sambutan dan terpaksa ditutup. Sejak itu, kami hanya membuatnya di rumah,’’ katanya yang telah memeluk Islam sejak 40 tahun lalu di Singapura.
Namun katanya, suatu hari semasa singgah di kedai menjual barangan organik di Ikano Power Centre, Mutiara Damansara, beliau disapa oleh salah seorang pekerja.
‘‘Saya beritahu padanya saya seorang pembuat roti. Lantas dia memberitahu bahawa mereka memerlukan pembekal roti. Dari situ bermulalah kehidupan kami sebagai pembekal roti kepada Justlife Shop, sebuah kedai menjual barangan organik yang mempunyai sembilan cawangan di seluruh Malaysia.
‘‘Kedai tersebut hanya mahukan roti organik dan roti vegetarian. Saya dan Mardia mencari dan mengolah resipi roti bagi memenuhi permintaan mereka,’’ jelas Mustaffa yang telah menjelajah hampir ke seluruh dunia kerana menguruskan syarikat penyelidikan dan pencarian minyak serta syarikat komputer untuk kegunaan ketenteraan.
Ditanya apa yang membezakan mereka dengan pembuat roti yang lain, Mustaffa menjelaskan, mereka menggunakan kaedah tradisi iaitu mengisarkan sendiri tepung dengan menggunakan kisar batu yang diimport dari India, menguli tepung dengan tangan dan membakarnya dengan ketuhar yang diperbuat daripada batu-bata.
‘‘Kami sentiasa memastikan roti yang dibuat berkualiti dan semua produk organik untuk pembuatan roti hanya diperoleh daripada pembekal yang bertauliah,’’ katanya.
Tambahnya, kerja-kerja pembuatan roti dijalankan secara bergilir-gilir dengan isterinya dan dua orang pembantu.
‘‘Kerja-kerja membuat roti ini bermula seawal pukul 3 pagi, sebelum disambung oleh Mardia dari 7 malam hingga 4 pagi.
‘‘Kami menyediakan leaven atau campuran tepung dengan air bermula pada pukul 4 pagi dan ditinggalkan sehingga 4 pagi esoknya supaya ia kembang. Kemudian dibuat doh dan dibiarkan selama 12 jam lagi sebelum dibentuk mengikut bentuk roti yang dikehendaki lalu dibakar.
‘‘Kebanyakan roti kami tidak menggunakan yis. Sebab itulah juga kami menggunakan gandum mentah yang ‘hidup’ dan dikisar sendiri. Sebenarnya, roti tradisi mempunyai bahan penaik semula jadi. Inilah yang kami ingin terapkan dalam pembuatan roti tanpa perlu menggunakan yis segera.
‘‘Caranya mudah, cuma campurkan tepung dan air dan dijadikan doh serta dibiarkan selama 12 hingga 24 jam dalam keadaan biasa, doh itu akan kembang dengan sendiri. Inilah yang membezakan roti kami dengan roti menggunakan yis yang tempoh penyediaannya hanya memakan masa dua jam. Roti kami mengambil masa hampir dua hari hingga tiga hari untuk disediakan,’’ katanya.
Tambahnya, mereka juga tidak menggunakan telur, sebaliknya menggantikan dengan flax seed, sejenis bijirin yang baik untuk jantung.
‘‘Begitu juga dengan penggunaan ketuhar batu bata untuk memasak roti. Walaupun ini merupakan cara tradisi terutamanya di negara-negara Barat, namun inilah cara yang menambahkan kesedapan roti dan memberi aroma yang menyelerakan.
“Inilah yang membuat roti buatan kami begitu istimewa,’’ katanya.
Penyediaan
Menceritakan mengenai penyediaan bahan bakar untuk ketuhar itu, Mustaffa menjelaskan, kayu-kayu harus dibakar selama enam hingga tujuh jam sebelum menjalankan kerja-kerja membakar roti supaya boleh menjadi bara secukupnya.
‘‘Kebanyakan kayu-kayu api itu diperoleh daripada palet terpakai.
‘‘Roti dibakar hanya menggunakan bara panas dan tidak ada api diperlukan. Selama 20 minit diperlukan untuk membakar sebiji roti,’’ katanya.
Menurutnya, roti organik ini tidak tahan lama, paling lama pun dua hingga tiga hari kerana tidak mempunyai pengawet, tidak seperti roti yang dikilangkan yang boleh bertahan seminggu.
‘‘Justeru, ia perlu dimakan ketika masih segar,’’ ujarnya.
Mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya kisah percintaan dua benua pasangan bahagia ini.
Mardia, bekas penganalisa komputer di sebuah bank tempatan, yang sepanjang temu bual berlangsung kelihatan begitu sibuk menguruskan pembungkusan roti yang hendak dihantar ke kedai, hanya tersenyum apabila ditanya mengenai percintaan mereka yang menarik itu.
‘‘Kami berkenalan menerusi alam siber. Pada waktu itu saya mempunyai sebuah kafe siber di England.
‘‘Saya suka melayari Internet. Suatu hari, semasa membuka sebuah laman web, secara spontan saya berkenan untuk berkenalan dengan seorang wanita yang juga ingin mencari kenalan.
‘‘Dari situ, kami saling berhubung sama ada secara alam siber atau pun menerusi telefon.
“Percintaan kami tidak lama dan saya terus melamarnya. Ini kerana saya merasai keserasian yang ada pada diri kami berdua,’’ kata Mustaffa.
Mereka berkahwin di sebuah masjid di England dan tinggal di sana selama setahun sebelum balik ke Malaysia pada tahun 2002.
Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan, boleh menghubungi Mustaffa di talian 019-2185615.
Sumber: Utusan.















.gif)






























0 comments:
Post a Comment