Saturday, February 20, 2010

Hari yang dinanti

Hari ni hantar adik ke Hentian Duta untuk pulang ke kampung. Tamatlah sudah khidmat babysitting dia selama lebih kurang 20 hari menjaga anak-anak tersayang semasa ketiadaan bibik yang balik ke Surabaya kerana menjaga ayahnya yang sakit. Sempat juga bibik menjalankan tanggungjawab sebagai anak untuk hari-hari terakhir ayahnya. 4 hari selepas kepulangannya, bibik inform ayahnya sudah meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihirajiun...

So, after about 5 weeks of spending her time at hometown, tomorrow she'll be coming back here Malaysia to continue her service with our family... dah masuk tahun ke-7... Alhamdulillah... moga segala urusan berjalan lancar dan baik-baik saja. InsyaAllah... amin...

Monday, January 25, 2010

Dari wanita untuk wanita

Keistimewaan WanitaMelayu.com

Forum Internet ilham Suzana Mustafa itu berjaya mengumpul 32,000 suri rumah dan menjana pendapatan RM30,000 sebulan.

SUZANA memulakan WanitaMelayu.com pada tahun 2005.

APA yang dilakukan oleh wanita ini mungkin kecil, tetapi sangat bermakna kepada 32,000 ahli forum Internet, WanitaMelayu.com.

Sejak dilancarkan pada tahun 2005, pengusaha salun, pembuat kek, penjual kraf tangan, peniaga kecil-kecilan bahkan suri rumah telah membentuk kenalan dan komuniti bisnes yang menjana pendapatan yang agak lumayan.

"Rata-rata penjual, kebanyakannya suri rumah, memperoleh pendapatan RM7,000 sebulan tidak lama selepas menyertai WanitaMelayu.com," kata pengasas forum itu, Suzana Mustafa, 40.

Malah, kata wanita kelahiran Labuan ini, seorang ahli forum mendapat pendapatan bersih RM30,000 sebulan.

"Saya memulakan forum ini sekadar mahu berkongsi maklumat dengan pelayar Internet lain.

"Tambahan pula, tidak banyak forum yang membincangkan mengenai hal wanita ketika itu," jelas Suzana yang tidak menyangka forumnya yang berlandaskan minat terhadap sulaman dan kraf tangan itu menjadi tumpuan golongan suri rumah.

Forum Internet

Pemegang Diploma Kesetiausahaan dari Bedford College, London ini berkata, beliau mendapat pendedahan mengenai Internet dan forum secara meluas ketika bekerja di bahagian undang-undang di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

"Ketika itu, Internet masih baru apatah lagi forum. Tapi saya dapat rasakan yang forum ini mampu memberi impak yang besar dalam perkongsian maklumat," katanya yang juga peneraju galeri sulaman dan kraf tangan, ZSi Trading Entreprise yang terletak di Bukit Mahkota Cheras, Selangor.

Sebelum ini, Suzana banyak melayari forum serta blog luar negara bagi menambah ilmu, idea serta kemahiran dalam membuat sulaman serta peluang dalam bidang perniagaan.

Katanya, berbeza dengan apa yang terdapat di dalam forum terbitan tempatan, ahli forum di luar negara tidak lokek ilmu, lebih terbuka dan berkemahiran.

HEBAHAN mengenai sesuatu aktiviti begitu cepat tersebar menerusi Internet.

"Paling utama, mereka (ahli forum) tidak suka meleret-leret apabila mengulas satu-satu topik. Semuanya tepat, ringkas dan mengesankan," katanya.

Forum WanitaMelayu.com sememangnya mudah difahami dan senang dilayari. Anda cuma perlu merujuk kategori produk yang ingin dicari dan klik pada tajuknya.

Antara kategori produk yang dimaksudkan ialah barangan rumah, kecantikan, komputer, aksesori kereta dan kesihatan.

Celik IT

Misalnya, jika anda ingin mencari set pinggan mangkuk, cadar, permaidani, bingkai gambar atau kain langsir, klik kategori Produk Barangan Rumah dan anda akan dapat melihat senarai pengusaha atau kedai yang menjual barangan tersebut.

Begitu juga jika anda mencari jamu asli, herba, vitamin, pil melangsingkan badan, minyak urut mahupun madu, pilihlah kategori Produk Kesihatan.

WanitaMelayu.com juga menyediakan segmen Informasi Wanita dengan pelbagai celoteh berkaitan rumah tangga, dapur, dekorasi dan landskap, seni jahitan dan keterampilan diri.

HASIL sulaman Suzana ditempah oleh syarikat dan indvidu luar negara termasuk dari Arab Saudi, Turki dan Britain.

Bagaimanapun, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di forum berkenaan.

Menurut Suzana, sejak mula lagi, beliau menyasarkan golongan suri rumah kerana melihat potensi kumpulan tersebut dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.


Katanya, kebanyakan suri rumah yang singgah di forum WanitaMelayu.com mempunyai kemahiran dan produk yang boleh dipasarkan secara komersial.

"Namun, masalah utama mereka ialah tidak mempunyai masa, peluang dan sumber untuk melariskan produk mereka.

"Justeru, salah satu faktor wujudnya WanitaMelayu.com ini ialah untuk membuka peluang kepada golongan ini," ungkap Suzana yang berazam untuk melahirkan lebih ramai suri rumah yang celik teknologi maklumat terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

"Saya anggap misi saya berjaya kerana 80 peratus daripada ahli forum WanitaMelayu.com adalah daripada kumpulan tersebut," katanya bangga.

Suzana tergelak kecil apabila diajukan soalan mengenai cabaran menjadi seorang pengendali forum Internet.

"Bidang online lebih berganda cabarannya berbanding berniaga secara biasa kerana kita tidak tahu dengan siapa kita berurusan," katanya yang turut menghasilkan buku mengenai sulaman dan kraf tangan.

Perniagaan online juga memerlukan kesabaran yang tinggi.

Katanya, dengan pendapatan yang tidak dapat dijangka, pengusaha online perlu cekap mencari pelanggan dan mempunyai kemahiran untuk menarik perhatian pembeli ke atas produk mereka.

Bagi merapatkan hubungan sesama ahli WanitaMelayu.com, beberapa siri perjumpaan dilakukan.

Geleri ala bengkel

"Daripada pengusaha baju, manik, makanan, kraf tangan, sulaman serta hiasan rumah, kami berkumpul dan di situ kami bertukar-tukar pandangan.

"Paling istimewa, kami tidak menjemput orang kenamaan kerana bagi saya, mereka (suri rumah) sudah cukup penting.

"Di samping itu juga, kami mahu perhatian benar-benar diberikan hanya pada mereka yang menjadi ahli WanitaMelayu.com," ujar Suzana.

Menjengah galeri Suzana, ZSi Trading Entreprise yang terletak di Bukit Mahkota Cheras, jelas terzahir minat ibu kepada tiga cahaya mata ini terhadap kerja-kerja kraf tangan dan sulaman.

"Sulaman reben adalah minat utama saya. Rupa-rupanya, tidak ramai yang tahu mengenai teknik sulaman ini di Malaysia," katanya bernada kesal.

Melanjutkan bicara, Suzana menjelaskan, beliau turut menerima tempahan daripada individu yang tinggal di luar negara seperti Brazil, Turki dan Britain.

"Tempahan pertama yang paling banyak saya terima ialah daripada sebuah syarikat Arab Saudi pada tahun 2007.

"Syarikat itu yakin dengan produk saya setelah melihatnya di laman forum dan blog lalu memasukkan deposit sebanyak RM75,000," katanya.

Dengan tempahan sebanyak itu yang perlu disiapkan dalam masa enam bulan, Suzana nekad berhenti kerja di sebuah syarikat swasta bagi menumpukan perhatian pada perniagaan serta forum tersebut.

Tambah Suzana, selain berjaya mengeluarkan kit peralatan menyulam pertama di Malaysia, produk yang seringkali mendapat perhatian ialah sarung kusyen, beg jerut serta alas meja.

Menyentuh mengenai sulaman reben, Suzana menjelaskan fabrik, jenis reben serta alatan yang digunakan haruslah tepat bagi mendapatkan kualiti yang bagus.

"Silap pilih, bukan saja menjejaskan kualiti sulaman tersebut malah kemungkinan kita akan kehilangan pelanggan," katanya yang turut menganjurkan bengkel sulaman dan kraf tangan di galerinya.

Sumber: Kosmo Online, 25 Jan 2010.

Friday, January 22, 2010

Usahawan bakeri

Keunikan Akademi Citra Klasik

DALAM konteks kekayaan, Islam sebenarnya menggalakkan umatnya menjadi kaya kerana hanya orang yang berada berkesempatan untuk mengeluarkan zakat harta benda.

Malah Islam memandang penting pengukuhan ekonomi kerana tanpanya ia boleh membawa manusia kepada kekufuran. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran. (Riwayat Baihaqi dan Abu Muslim Al-Laithi)

Nama ahli perniagaan Pauzuah Saaid pastinya tidak dikenali ramai, tetapi ramai orang kenal dengan kafe Citra Klasik.

Pauzuah memanfaatkan kemahiran memasak pelbagai jenis masakan, kek, biskut, kuih-muih dan lauk-pauk yang diwarisi sejak turun-temurun untuk membina jenama Citra Klasik.

Wanita berusia 47 tahun ini yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pau kini mampu menarik nafas lega dengan kejayaan menubuhkan Citra Klasik Bakeri dan Cafe di Putrajaya dan cawangan kafe itu di Pusat Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang. Pada masa yang sama dia turut membuka Akademi Citra Klasik yang menawarkan pelbagai kursus masakan.

Ikuti temu bual wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar HARUN OSMAN dengan Kak Pau di kedainya baru-baru ini.

Bagaimanakah perniagaan ini bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?

PAUZUAH: Kak Pau pernah menganggur sekejap iaitu pada 1988 selepas pulang dari Amerika Syarikat kerana mengikuti suami yang bekerja di sana. Pada masa itu Kak Pau mula mengambil upah membuat kuih-muih untuk memperoleh pendapatan sendiri.

Kak Pau ditawarkan jawatan Eksekutif Kanan Sumber Manusia merangkap Juruaudit di Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Bermula di situlah Kak Pau mengembangkan lagi kemahiran yang ada dan mengumpul lebih ramai pelanggan yang meminati masakannya yang dibuat secara sambilan.

Pada 1998, biarpun pendapatan ketika itu sudah agak kukuh tetapi Kak Pau dapati bidang masakan lebih cerah masa depannya dan dia berkeyakinan ia mampu berkembang lebih jauh. Maka lahirlah Kak Pau Kek dan Pastri. Kak Pau memberanikan diri berhenti kerja.

Pada peringkat awal, Kak Pau beroperasi di rumah di Kelana Jaya, Selangor dan dalam masa yang sama mengambil tempahan katering serta menganjurkan kelas-kelas masakan.

Berbekalkan kepercayaan dan kerja keras, pada 2002 Puspanita Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan kepada Kak Pau satu lot kedai di Parcel C, Putrajaya. Di situ, Kak Pau menyediakan pelbagai jenis roti dan kek secara take a way.

Pada 2004, Kak Pau membeli lot kedai dua tingkat di Pusat Hentian Kajang. Di situ Kak Pau menjalankan dua operasi serentak iaitu bakeri dan kafe serta penganjuran kelas-kelas masakan atas nama Akademi Citra Klasik.

Mengapakah perniagaan ini yang dipilih dan tidak bentuk perniagaan lain?

Sejak dari kecil lagi Kak Pau memang meminati bidang masakan dan suka memasak. Lebih-lebih lagi pendedahan dalam dunia perniagaan berkaitan penyediaan makanan telah diperoleh daripada emak.

Sewaktu menganggur selepas balik dari Amerika Syarikat, Kak Pau mula memikirkan perniagaan makanan secara serius.

Semasa bekerja di PLUS, Kak Pau mula mengikuti kelas-kelas tertentu untuk memahirkan diri seperti mendalami bidang sumber manusia di Universiti Malaya serta mengikuti kelas anjuran MARDI, Jabatan Pertanian, Mara dan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Selain itu, pada tahun 1980-an, penglibatan orang Melayu dalam perniagaan sebegini belum begitu ramai.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

Semenjak Kak Pau menawarkan pelbagai kursus masakan kepada pelbagai individu dan kumpulan, peningkatan dalam perniagaan jelas ketara. Akademi Citra Klasik bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan kecil bumiputera. Kami di sini mempunyai bilik tutorial yang boleh menempatkan kapasiti maksimum 50 orang. Kelas-kelasnya dilengkapi dengan kemudahan peralatan bakeri dan bilik berhawa dingin.

Mereka yang meminati boleh mengikuti sama ada kelas hujung minggu, kursus keusahawan bakeri, kursus in house training, kursus bergerak di seluruh Malaysia dan kursus individu. Talian 03-8734 6427 boleh dihubungi mereka yang berminat.

Setiap bulan Kak Pau akan mengedarkan jadual-jadual kelas masakan berdasarkan beberapa pakej yang ditawarkan seperti pakej kek komersial, produk sejuk beku, set nasi lemak komersial, pakej biskut dan banyak lagi.

Kami juga menerima pelatih-pelatih yang bakal bersara sama ada kakitangan kerajaan dan badan berkanun.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam menguruskan perniagaan dan bagaimana mengatasinya?

Dari segi persaingan tidaklah terlalu ketara. Alhamdulillah sokongan padu daripada pelanggan tetap telah membantu mengukuhkan Citra Klasik.

Masalah yang dihadapi sekarang cuma dari segi tenaga pekerja yang sentiasa keluar masuk.

Kepuasan yang bagaimanakah yang anda peroleh dalam bidang ini?

Semenjak menawarkan kursus keusahawan sudah sembilan orang pelajar Kak Pau yang telah berjaya membuka kedai bakeri mereka sendiri. Mereka ini bukan sahaja berniaga di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang tetapi hampir di seluruh Malaysia.

Kejayaan mereka cukup bermakna buat Kak Pau kerana matlamat untuk utama Kak Pau untuk melahirkan usahawan Bumiputera termakbul juga.

Sekiranya Kak Pau menerima banyak tempahan, Kak Pau tidak akan menolaknya. Kak Pau akan cuba mengagihkan tempahan yang tidak dapat dipenuhi kepada pelajar-pelajar Kak Pau.

Nasihat Kak Pau ialah dalam berniaga jangan sekali-kali wujud sikap kedekut dan hasad dengki kerana ia merosakkan diri sendiri. Perbuatan itu juga dikutuk Allah.

Sebagai seorang korporat muslim, bagaimana pandangan anda berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

Kenyataan itu memang benar. Apabila kita bekerja sendiri, kita kena rajin dan perlu ada kekuatan dalaman. Selain itu, faktor minat amat penting kerana modal semata-mata tidak menjamin kejayaan. Bidang perniagaan bukan semata-mata tentang mengaut keuntungan tetapi banyak faktor yang mempengaruhinya seperti penjagaan aspek kualiti, pengurusan masa, wang dan banyak lagi.

Menyentuh tentang tanggungjawab setiap muslim menunaikan zakat, apakah pandangan anda mengenainya?

Nabi s.a.w. bersabda: Beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat yang diambil daripada golongan yang kaya di kalangan mereka untuk diberikan kepada golongan yang miskin. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita mengapa mereka yang mampu dan memenuhi syarat-syarat berzakat diwajibkan melaksanakan perintah ini.

Selain bertujuan meningkatkan ekonomi umat Islam, menerusi zakat juga kita dapat membersihkan harta yang diperoleh dan pada masa yang sama membawa keberkatan dalam kehidupan.

Sumber: Utusan, 24 Feb 2006.

Kelas Bakeri

PAKEJ BAKERI – ROTI ..kelas 100% hands on

1. anika jenis sweet bun ( mini pizza, sausage plait, sausage roll, an pan roll, red bean petal, , Mexican bun, shanghai cheese, soft cheese stick, ikan bilis triangle, sardine bun, kaya square , shanghai cheese)
2. Italian Pizza ( sosej supreme , seafood combo) dan frozen pizza base
3. Sandwich loaf kopitiam style yg boleh dipelbagaikan ke wholemeal loaf dan fruit loaf
4. French Loaf
Sila bawa sehelai tuala tangan kecil, gunting , pisau kecil dan penggelek pendek

7 Feb Ahad 1030 pg ke 5 ptg

AHLI RM220, Bukan Ahli RM250 termasuk sijil , 2 tea break, lunch .

Thursday, January 21, 2010

Pizzaku...

Mama ingat dapat gaji ni mama nak beli oven la nak gantikan oven yang dah rosak tu... last month mama bersemangat waja membuat adunan pizza. sekali bila nak bakar dalam oven baru realize... alahai oven dah rosak... huhu how am i going to bake these 2 pizzas!? finally mama belasah je masuk dalam microwave... memanglah hasilnya dari segi presentation tak begitu ok tapi selamat jugak dilicinkan oleh si kakak, angah, acik dan tisya... ok la kot rasanya tu ;b

Friday, January 8, 2010

Jadual Gaji 2010

Hihi... inilah yang bestnya orang kerja gomen... siap dah ada jadual pembayaran gaji setiap tahun... semoga dapat manfaat esp untuk buat perancangan... :)

Friday, January 1, 2010

Mas Kahwin yang Hilang



Buku ini menerangkan kepada anda tentang asas-asas teknik pengurusan kewangan yang betul KHUSUS untuk orang-orang bujang yang sedang berusaha mengumpulkan duit untuk perkahwinan mereka. Di dalam buku ini, anda akan didedahkan dengan:

*18 tips bagaimana anda boleh berjimat dan mengumpulkan wang sehingga RM10,000 dengan mudah.

* 6 cara bagaimana anda dapat mangawal serta melangsaikan hutang anda dengan cepat. Kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh orang ramai apabila cuba mengatasi masalah kewangan mereka dan bagaimana hendak mengelakkannya.

* 10 cara bagaimana anda boleh meningkatkan pendapatan anda. CONTOH - Bagaimana seorang pemuda menjana pendapatan sehingga RM3,000 dalam masa 5 jam dengan hanya berdiri di khalayak ramai. (Bukan meminta sedekah)

* Rahsia bagaimana memperolehi rezeki yang melimpah ruah seperti yang telah dijanjikan oleh Allah khusus untuk mereka yang ingin mendirikan rumahtangga.

* 3 perkara yang perlu anda ketahui sebelum anda membuat sebarang kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Jika tidak, anda mungkin akan kehilangan lebih banyak wang!

* Serta berbagai lagi rahsia serta tips yang menarik yang boleh dijadikan panduan hidup anda di dalam mengharungi kehidupan sebelum dan selepas berumahtangga.